15 tips mencapai kebebasan kewangan untuk masa depan anda
Bila kita dah mula berkerja dan ada kehidupan sendiri, mestilah kita pernah terfikir untuk capai kebebasan kewangan kan?
Nak tak nak, kita memang kena mula uruskan kewangan secara bijak. Kalau tak, silap hari bulan, habis rabak kewangan kita.
Min ada baca perkongsian Tuan Amir Syahir yang Min rasa boleh membantu korang untuk capai kebebasan kewangan.
Semoga bermanfaat.
–
Bukan senang nak senang dan bukan susah nak susah. Tak salah bersusah sikit pada masa muda untuk kesenangan kau dan keluarga pada masa depan.
Orang lain dah mulakan langkah untuk menuju kebebasan kewangan pada masa hadapan. Takkan kau masih nak melihat saja?
Walaupun kau rasa dah terlambat untuk mulakan langkah menuju kebebasan kewangan, jangan la risau. Biar lambat daripada langsung takde langkah dan tindakan apa-apa.
Bagaimana cara hendak menuju kebebasan kewangan pada masa hadapan? Jom baca 15 tips ini :
Tip #1 Mulakan Simpanan
Menyimpan sekurang-kurangnya 10% daripada pendapat. Dapat gaji, simpan dulu barulah berbelanja. Biarlah kawan kau cakap kau kedekut dalam berbelanja. Buat derk sudah.
Tip #2 Beli Kereta Mengikut Kemampuan
Berhati-hati memilih kereta. Jika beli kereta tak sepadan dengan gaji akan menyebabkan kau terbeban untuk bayar ansuran bulanan. Kos petrol, parkir, tol dan penyelenggaraan kau kena ambil kira juga.
Tip #3 Jauhi Gaya Hidup Mewah
Janganlah kau nak beli sesuatu semata-mata nak menunjuk. Pergi makan tempat mewah, pergi travel luar negara, beli baju berjenama tapi hakikatnya boleh menangis tengok duit dalam bank. Hutang pun keliling pinggang.
Tip #4 Bijak Uruskan Kad Kredit
Jika ada kad kredit, gunakan hanya untuk membeli barang keperluan dan isi minyak kereta untuk kumpul mata bonus. Kalau tak pandai dan tak berdisiplin, tak payah lah guna.
Tip #5 Tangguhkan Kehendak, Utamakan Keperluan
Tangguhkan kehendak. Jika kau tak mampu beli secara tunai, jangan nak berhutang. Itu bermaksud kau belum layak lagi untuk memilikinya.
Tip #6 Membuat Bajet Dan Memantau Perbelanjaan
Sebelum berbelanja, buat dulu bajet. Sekurang-kurangnya kau tahu ke mana duit kau pergi. Seminggu sekali pantaulah perbelanjaan kau. Sama ada mantap ataupun kelaut.
Tip #7 Kurangkan Perbelanjaan
Jika tak mampu tambah pendapatan, kurangkan perbelanjaan. Belajar hidup di bawah kemampuan. Ukur baju di badan sendiri ye.
Tip #8 Kurangkan Hutang
Baru mula kerja, gaji pun sikit lagi. Jauhi daripada berhutang yang tak perlu. Berhutang untuk kahwin misalnya. Pihak bank juga akan anggap kau individu berisiko jika ada pembiayaan peribadi.
Tip #9 Ambil Takaful Masa Muda
Ansuran bulanan takaful akan rendah jika kau ambil takaful masa usia muda. Jika ada perkara yang tidak diingini berlaku seperti kemalangan yang berlaku secara tiba-tiba, kau dah tak payah keluarkan duit untuk kos perubatan.
Tip #10 Baiki Hutang Jahat
Selesaikan hutang tertunggak seperti hutang kad kredit, PTPTN, pembiayaan peribadi dan kereta. Bayar mengikut masa yang ditetapkan. Jika kau dah ada banyak hutang, jangan buat hutang baru lagi. Hutang member kau janganlah lupa bayar. Ingat jasa sikit. Tak aman hidup kau nanti.
Tip #11 Mulakan Melabur
Pilih instrumen pelaburan yang sesuai dengan kau. Kaji dahulu. Jangan ikut orang. Banyak instrumen pelaburan yang diyakini seperti ASB, Tabung Haji dan unit amanah yang lain.
Tip #12 Jauhi Skim Cepat Kaya
Tidak ada jalan pintas untuk jadi kaya. Jadi, jangan mudah terpengaruh dengan skim yang ditawarkan. Jika satu peluang pelaburan yang terlalu bagus dan mantap keuntungannya, takdenya dorang nak ajak kau join. Baik dorang tolong keluarga dorang je.
Tip #13 Berjimat-Cermat Tetapi Tidak Kedekut
Berjimat dan kedekut itu dua perkara yang berbeza. Berjimat bermaksud tidak membazir, beli barang yang perlu sahaja tetapi tidak kedekut untuk menderma dan bantu adik-beradik serta sebagainya.
Tip #14 Pendapatan Sampingan
Cari pendapatan sampingan melalui hobi. Kalau kau suka bercuti, beli la baju, kain ke lepastu jual ke kawan-kawan. Dapat buat bisnes kecil-kecilan.
Tip #15 Jangan Malu
Jangan malu bercuti di dalam negara walaupun kawan-kawan kau semua bercuti ke luar negara. Jangan malu kawan-kawan kau pakai kereta power, kau pakai kereta Saga. Kau mampu berjimat dan ada banyak simpanan daripada mereka. Percayalah.
Apa yang kau buat masa zaman muda, akan memberi kesan pada masa hadapan. Kalau kau berseronok je manjang sekarang, kau akan rasa peritnya hidup pada masa akan datang.
Pilihan di tangan kau. Orang lain tak mampu ubah nasib kau melainkan diri kau sendiri. Sama-sama kita berubah demi mencapai masa depan yang lebih baik. Kah!