|

Apa yang anda perlu tahu tentang Pinjaman Rumah Bersama?

Bila nak mohon pinjaman perumahan, tak semestinya kita boleh guna nama kita je. Kita juga boleh buat pinjaman rumah bersama.

Single dan tak ada pasangan lagi pun boleh je buat pinjaman rumah bersama ni.

Kali ni Min nak kongsikan tentang pinjaman rumah bersama yang anda patut tahu. Perkongsian ini Min dapat daripada PropertyGuru. Jemput baca sampai habis.

Pinjaman rumah bersama bukan setakat antara suami isteri, ia juga boleh melibatkan ibu bapa dan anak, malah antara sahabat sehidup semati. Tetapi, baca dulu apa kelebihan, kekurangan dan realiti pinjaman ini yang kami sediakan.

Untung badan dan jiwa kalau jumpa seseorang yang istimewa untuk hidup bersama sampai akhir hayat.

Tetapi, dalam asyik sibuk bercinta dan merancang masa depan, ada satu persoalan yang anda perlu fikirkan dengan mendalam – sanggupkah anda mengambil pinjaman rumah bersama dengan orang kesayangan?

Sebab sebelum berkahwin, setiap orang tentulah ada komitmen kewangan dan peribadi masing-masing. Selepas berkahwin, bagaimana pula?

Anda tahu tak yang sebenarnya pinjaman rumah bersama di Malaysia bukan hanya untuk suami isteri? Trend yang wujud juga membuktikan ia turut melibatkan antara ibu bapa dan anak serta sahabat sehidup semati.

Jadi, apakah kelebihan, kekurangan dan realiti pinjaman rumah bersama di Malaysia?

Kelebihan Pinjaman Rumah Bersama

Kebanyakan kita yang hidup makan gaji hujung bulan, beli rumah adalah tindakan “berhutang” terbesar pernah dibuat, ia juga menjadi halangan kewangan untuk ramai orang.

Selepas memilih rumah idaman yang mahu dibeli, anda perlu mencari bank yang yakin dengan kedudukan kewangan anda dan mahu menawarkan pinjaman. Dalam situasi inilah, pinjaman rumah bersama sangat membantu.

Pinjaman rumah bersama mengambil kira gabungan pendapatan individu-individu yang memohon pinjaman.

Semua bank mempunyai had jumlah pinjaman yang boleh diberikan kepada anda, selalunya ditetapkan berdasarkan tahap pendapatan anda.

Jadi, memohon pinjaman bersama boleh menaikkan kelayakan had pinjaman anda, kerana ia menggabungkan dua sumber pendapatan daripada individu berbeza.

Ia menaikkan kuasa beli anda sebab had pinjaman naik melalui pinjaman rumah bersama, kesan yang sangat NYATA dalam pinjaman jenis ini.

Jadi tak kisah sama ada anda mohon jumlah pinjaman banyak atau sedikit, peluang bank akan luluskannya bertambah tinggi.

Sebabnya mudah, jumlah pendapatan bersama anda kini lebih tinggi berbanding syarat pendapatan yang ditetapkan bank untuk pinjaman diluluskan.

Selain itu, anda juga berkongsi beban membayar kos sampingan lain dalam proses beli rumah seperti cukai, bayaran pendahuluan dan pelbagai jenis yuran lain dengan pasangan pinjaman bersama anda.

  • Kelebihan 1 – Gabungan pendapatan meningkatkan bajet pinjaman perumahan
  • Kelebihan 2 – Kelulusan pinjaman mudah kerana gabungan pendapatan
  • Kelebihan 3 – Berkongsi wang pendahuluan dan kos pembelian

Kelemahan Pinjaman Rumah Bersama

Seperti kebanyakan perkara dalam hidup, pilihan pinjaman rumah bersama juga datang bersama pengorbanan.

Pemeriksaan kredit (CCRIS atau CTOS) adalah sangat penting untuk semua permohonan pinjaman rumah, dan apabila ia berkaitan pinjaman bersama, proses itu menggandakan rekod kredit untuk diperiksa.

Sekiranya pemohon bersama anda mempunyai rekod CCRIS yang lemah, ia akan menjejaskan peluang mendapat kelulusan untuk pinjaman bersama walaupun anda mempunyai rekod cemerlang.

Satu lagi kekurangannya ialah akses kepada inisiatif pembeli rumah kali pertama.

Terdapat beberapa inisiatif di Malaysia yang menawarkan insentif kewangan bagi membantu pembeli rumah pertama.

Jika anda memohon pinjaman bersama untuk rumah anda, ada kemungkinan, anda atau pasangan terpaksa melepaskan inisiatif pembeli rumah pertama.

Ini bermakna, anda berdua sama-sama bakal memiliki rumah, tetapi hanya salah seorang yang berpotensi mendapat akses kepada insentif kewangan tersebut.

Satu lagi insentif kewangan yang perlu dipertimbangkan ialah pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT).

CKHT adalah cukai yang dikenakan ke atas keuntungan yang diperoleh daripada penjualan hartanah di Malaysia, yang buat masa sekarang ditetapkan pada nilai lebih daripada RM200,000.

Warganegara Malaysia ditawarkan pengecualian sekali seumur hidup daripada cukai ini.

Sekiranya anda merupakan salah seorang pemilik rumah bersama, anda atau pasangan anda boleh kehilangan manfaat ganjaran kewangan seandainya rumah itu dijual.

Perkara lain yang perlu diperhatikan ialah bagaimana kelayakan pinjaman bersama berfungsi untuk pasangan bukan ahli keluarga.

Institusi kewangan lebih berhati-hati apabila ingin meluluskan pinjaman di antara rakan, berbanding dalam permohonan suami isteri atau ibu bapa dan anak.

Ini kerana peluang untuk rakan-rakan membawa haluan sendiri adalah lebih besar, seterusnya menjejaskan pinjaman perjanjian bersama antara mereka.

  • Kelemahan 1 – Rekod kredit kedua-dua pemohon akan dinilai
  • Kelemahan 2 – Berpotensi kehilangan akses inisiatif pembelian rumah pertama
  • Kelemahan 3 – Berpotensi kehilangan akses pengecualian Cukai Keuntungan Hartanah (CKHT)
  • Kelemahan 4 – Penilaian pinjaman di antara bukan ahli keluarga lebih kritikal

Bagaimana Saya Nak Buat Pinjaman Rumah Bersama?

Mula-mula sekali mestilah kena cari teman idaman serumah! Kalau tidak ada, bagaimana hendak buat pinjaman bersama, kan? Boleh jadi pasangan hidup atau mungkin juga sahabat sehidup semati anda.

Kemudian, perlu ada perbincangan serius tentang implikasi pinjaman rumah bersama ke atas kewangan dan peribadi anda berdua.

Anda juga perlu memikirkan pelan pemilikan yang lebih jelas menurut undang-undang jika berlaku situasi tidak diingini. Tak nampak macam fikir bukan-bukan ke? Agaklah.

Tetapi, kalau melibatkan sebuah kondominium mewah tiga bilik di Mont Kiara, berbaloi untuk fikir bukan-bukan, kan? Jadilah bijak daripada menyesal kemudian hari.

Langkah seterusnya ialah memilih pinjaman yang anda ingin mohon. Terdapat beberapa bank dan institusi kewangan di seluruh Malaysia yang menawarkan pinjaman rumah bersama.

Maybank, CIMB, dan Hong Leong Bank, semua bank ini menawarkan pinjaman rumah bersama.

Jika anda tidak pasti yang mana satu sesuai dengan anda, gunakan perkhidmatan perunding kewangan atau perunding hartanah professional.

Seperti proses biasa permohonan pinjaman rumah, anda perlu sediakan semua dokumen bagi melengkapkan permohonan.

Keperluan ini mungkin berbeza mengikut bank, tetapi selalunya ia melibatkan:

  • Perjanjian Jual Beli (SPA) atau Borang Tempahan
  • Passport atau MyKad
  • Slip gaji
  • Penyata akaun bank (12 bulan)
  • Penyata cukai pendapatan

Tempoh untuk kelulusan awal adalah berbeza, tetapi persetujuan lisan boleh berlaku sepantas 24-48 jam.  

Sebaik sahaja bank menawarkan kelulusan awal perjanjian pinjaman, latar belakang anda akan diperiksa bagi menentukan kelayakan.

Sekiranya semua berjalan lancar, anda akan menjadi penerima pinjaman rumah dalam masa terdekat. 

Sekiranya Perpisahan Berlaku, Apa Patut Saya Buat?

Walaupun menyakitkan, persoalan apa yang akan terjadi sekiranya berlaku perpisahan sangat penting dalam pinjaman rumah bersama.

Kita telah membincangkan bagaimana pasangan anda boleh mempengaruhi keputusan kelayakan pinjaman rumah, tetapi anda juga perlu mempertimbangkan perancangan kewangan anda sendiri.

Satu dokumen perundangan yang menetapkan hak dan kewajiban setiap pihak sekiranya berlaku perpisahan seharusnya menjadi asas perjanjian pinjaman anda.

Ini kemahuan yang sukar dipenuhi dalam persahabatan, tetapi kalau melibatkan ahli keluarga, ia akan jauh lebih rumit.

Nak buat dokumen undang-undang, macam “over” sangat je? Tapi, ini perlu untuk melindungi kepentingan semua pihak terlibat.

Sekiranya berlaku perpisahan, anda perlu pertimbangkan beberapa situasi kerana pihak dalam perjanjian bersama pastinya mahu mempertahankan hak mereka.

Kalau anda dan pasangan tidak ada persetujuan atau perjanjian awal, memang susah hendak selesaikan masalah pemilikan ini.

Realitinya adalah, apabila berlaku perpisahan, ada tiga pilihan utama untuk menyelesaikan masalah perjanjian rumah bersama.

1) Jual rumah terbabit dan bahagikan hasilnya

Ini mungkin penyelesaian yang paling mudah yang membolehkan kedua-dua pihak mendapat semula sebahagian wang yang telah dibelanjakan.

2) Beli bahagian pasangan anda

Salah seorang akan menanggung pinjaman rumah sepenuhnya dengan membeli bahagian pihak satu lagi. Ia boleh mewujudkan halangan kewangan dan memerlukan persetujuan bank.

3) Setuju dengan pemilikan bersama

Hanya seorang terus tinggal di rumah itu, tetapi seorang lagi walaupun sudah keluar masih berkongsi komitmen kewangan dan masih berhak ke atas nilai hartanah itu.

Selepas itu, barulah pihak yang masih tinggal di rumah tersebut membeli sebahagian komitmen kewangan daripada bekas pasangan untuk menjadi pemilik majoriti.

Penyelesaian ini memerlukan hubungan positif berterusan yang memang susah hendak dijaga. Berpisah tapi masih berhubung baik? Boleh buat tetapi anda memang hebat.

Nak update terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Jom join Channel Telegram rasmi Bijak Kewangan. Kami akan kongsikan info terkini khas untuk anda!

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *