|

Bantuan Masih Tersedia untuk Peminjam Individu dan PKS yang Terjejas

Bank Negara Malaysia (BNM) mengalu-alukan inisiatif industri perbankan dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang memperkenalkan Program Pengurusan & Ketahanan Kewangan (Financial Management & Resilience Programme, URUS) bagi peminjam individu yang terus terjejas akibat pandemik COVID-19.

URUS akan membantu peminjam B50 yang kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan sekurang-kurangnya 50% untuk membayar balik pinjaman mereka yang tidak tertunggak. Peminjam yang layak dan berhasrat untuk memohon URUS boleh berhubung dengan bank-bank mereka mulai 15 November 2021 hingga 21 Januari 2022.

“BNM telah bekerjasama dengan AKPK untuk membangunkan penyelesaian pengurusan hutang dan perancangan kewangan yang holistik. Penyelesaian ini bertujuan untuk menyediakan bantuan yang bersesuaian kepada peminjam supaya mereka bukan sahaja dapat memenuhi obligasi bayaran balik pinjaman malah lebih penting lagi, dapat mengukuhkan semula kedudukan kewangan mereka. Bantuan ini akan memperkukuh daya tahan kewangan peminjam dalam jangka panjang,” kata Gabenor Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus. Perlaksanaan URUS adalah selaras dengan usaha-usaha ini.

Bagi peminjam/pelanggan yang tidak layak memohon program URUS, mereka masih boleh menghubungi bank-bank untuk berbincang tentang penyelesaian bayaran balik pinjaman yang sesuai dengan keadaan kewangan mereka.

Jika peminjam/pelanggan menghadapi sebarang kesukaran dengan permohonan URUS, mereka boleh menghubungi BNMTELELINK melalui bnm.gov.my/RAsurvey bagi mendapatkan khidmat nasihat. Peminjam/pelanggan juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai skim baharu ini melalui laman sesawang bank-bank dan AKPK.

Bagi PKS, penambahbaikan selanjutnya bagi Dana-Dana BNM akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2022 yang akan datang. Penambahbaikan terhadap Dana-Dana ini akan membantu perniagaan menguruskan aliran tunai dan membuat penyesuaian apabila ekonomi dibuka semula.

Meskipun risiko kredit meningkat, pembiayaan bank kepada PKS terus berkembang dengan kapasiti tambahan yang disediakan melalui Dana-Dana BNM dan skim jaminan kredit.

Bagi enam bulan pertama tahun 2021, sejumlah RM154 bilion telah dikeluarkan kepada PKS, iaitu 4% lebih tinggi daripada jumlah sebelum pandemik. Sejak bermulanya pandemik, sejumlah RM18 bilion telah diperuntukkan di bawah Dana ini bagi meningkatkan pembiayaan sistem perbankan kepada PKS.

Pinjaman terkumpul untuk segmen PKS meningkat sebanyak 6 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelum ini. Usaha-usaha juga sedang diambil untuk membangunkan inisiatif pembiayaan hutang-ekuiti dan pembiayaan gabungan (blended financing) bagi membolehkan PKS mendapat akses kepada pelbagai pilihan pembiayaan yang sesuai merentas kitaran pertumbuhan mereka.

“Hal ini penting untuk mengurangkan leveraj serta memperkukuh daya tahan dan kapasiti jangka panjang PKS serta meningkatkan sumbangan mereka kepada ekonomi,” tambah Gabenor Datuk Nor Shamsiah.

Ciri-ciri Utama

Siapakah yang layak?

Pelanggan B50 yang memenuhi semua kriteria yang berikut layak untuk memohon URUS, iaitu:

  • Pelanggan yang berada di bawah program bantuan bayaran balik pinjaman sedia ada (cth. Bantuan Bayaran Balik Pinjaman Bersasar, PEMERKASA Plus, PEMULIH, program penjadualan semula dan penstrukturan semula yang ditawarkan oleh sesebuah bank, dll) setakat 30 September 2021;
  • Pelanggan yang mempunyai pendapatan isi rumah kasar sehingga RM5,880;
  • Pelanggan yang mempunyai pinjaman/pembiayaan yang tidak tertunggak melebihi 90 hari pada tarikh permohonan dibuat; dan
  • Pelanggan yang kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan sekurang-kurangnya 50%.

Apakah bantuan yang ditawarkan di bawah URUS?

  • Anda akan menerima Pelan Kewangan Mengikut Individu (Personalised Financial Plan, PFP) yang menetapkan jumlah bulanan bagi bayaran balik hutang dan jadual untuk tempoh sehingga 24 bulan.
  • Pelan ini akan mengambil kira kesemua obligasi hutang anda yang sedia ada dan jumlah pendapatan semasa yang anda boleh asingkan untuk membayar balik hutang anda selepas ditolak perbelanjaan sara hidup.
  • PFP akan merangkumi:
    • Pengecualian faedah selama 3 bulan;
    • Penangguhan bayaran dan pilihan lain, termasuk pengurangan bayaran ansuran, bagi membantu anda menguruskan keseluruhan hutang berdasarkan kemampuan anda; dan
    • Sokongan pembangunan, pendidikan dan khidmat nasihat bagi membantu anda menguruskan kewangan supaya menjadi lebih berdaya tahan dari segi kewangan.
  • Sebagai kemudahan tambahan, pelanggan yang mempunyai pinjaman daripada pelbagai bank hanya perlu memohon daripada salah satu daripada bank-bank tersebut. Seterusnya, AKPK akan mengumpulkan butiran pinjaman/ pembiayaan mereka dan membangunkan pelan bayaran balik pinjaman yang holistik dan berdaya maju untuk pelanggan yang memohon.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *