BNM turunkan kadar OPR sebanyak 50 mata asas kepada 2%
Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) sebanyak 50 mata asas kepada 2.00 peratus. Berikutan itu, kadar tertinggi dan terendah OPR masing-masing dikurangkan kepada 2.25 peratus dan 1.75 peratus.
Keadaan ekonomi global nyata semakin lemah. Langkah-langkah untuk membendung pandemik COVID-19 telah menjejaskan kegiatan ekonomi di kebanyakan negara. Penunjuk terkini memaparkan bahawa ekonomi global telah pun menguncup, dengan pertumbuhan global diunjurkan menjadi negatif pada tahun ini.
Keadaan kewangan juga semakin ketat dalam keadaan peningkatan penghindaran risiko serta ketidakpastian. Langkah yang diambil oleh banyak negara untuk melaksanakan pelbagai rangsangan dasar di samping pelonggaran yang beransur-ansur terhadap langkah pembendungan di seluruh dunia akan mengurangkan sebahagian daripada impak COVID-19 ke atas ekonomi.
Prospek pertumbuhan akan bertambah baik pada tahun 2021 berdasarkan jangkaan bahawa pandemik ini dapat dibendung.
Di Malaysia, keadaan ekonomi dalam negeri turut terjejas akibat pandemik ini. Langkah pembendungan yang meluas di seluruh dunia, penutupan sempadan antarabangsa dan keadaan permintaan luar negeri yang seterusnya lemah akan memberikan kesan yang lebih besar terhadap kegiatan ekonomi dalam negeri.
Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan perlu dikuatkuasakan di negara ini untuk membendung virus ini daripada merebak, perintah tersebut juga mengekang kapasiti pengeluaran dan perbelanjaan. Keadaan pasaran pekerja juga dijangka ketara lebih lemah.
Keadaan ekonomi akan menjadi sangat mencabar, terutamanya pada separuh pertama tahun 2020. Namun demikian, langkah-langkah rangsangan fiskal bersama-sama langkah monetari dan kewangan akan menyokong ekonomi. Berikutan langkah membenarkan lebih banyak perniagaan beroperasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, kegiatan ekonomi dijangka bertambah baik secara beransur-ansur. Prospek pertumbuhan terus dipengaruhi oleh keadaan ketidakpastian yang tinggi, terutamanya yang berkaitan dengan perkembangan pandemik ini.
Tekanan inflasi dijangka menjadi sederhana dan purata inflasi keseluruhan mungkin menjadi negatif pada tahun ini, terutamanya disebabkan oleh unjuran harga minyak dunia yang ketara lebih rendah. Namun demikian, prospek inflasi akan terus dipengaruhi dengan ketara oleh harga minyak dan komoditi dunia, serta keadaan permintaan yang kian berubah.
Inflasi asas dijangka rendah memandangkan unjuran prospek pertumbuhan dalam negeri dan keadaan pasaran pekerja yang lebih lemah.
Sektor kewangan negara terus teguh dengan institusi kewangan beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh. Keadaan mudah tunai kekal lebih daripada mencukupi, dengan diperkukuh oleh suntikan mudah tunai oleh Bank Negara Malaysia.
Sejak bulan Mac 2020, Bank Negara Malaysia telah menyediakan mudah tunai tambahan kira-kira RM42 bilion ke dalam pasaran kewangan domestik, melalui pelbagai instrumen termasuk pembelian sekuriti kerajaan secara terus, repo berbalik dan pengurangan dalam Keperluan Rizab Berkanun. Bank Negara Malaysia bersedia untuk menyediakan mudah tunai kepada pasaran antara bank bagi memastikan keadaan pasaran adalah teratur dan terus kondusif bagi menyokong aktiviti pengantaraan kewangan.
Susulan keputusan yang dibuat hari ini, OPR telah dikurangkan sebanyak 100 mata asas dengan itu menyokong langkah-langkah monetari dan kewangan Bank Negara Malaysia yang lain serta langkah-langkah fiskal pada tahun ini.
Kesemua langkah ini akan mengurangkan kesan ekonomi ke atas sektor perniagaan dan isi rumah serta menyokong kegiatan ekonomi untuk menjadi bertambah baik. MPC akan terus memantau prospek pertumbuhan dalam negeri dan inflasi. Bank Negara Malaysia akan menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi yang berterusan.
Bank Negara Malaysia
05 May 2020