HLB dan Hong Leong Islamic Bank akan turunkan kadar faedah berkuat kuasa 10 Julai ini
Hong Leong Bank (HLB) dan Hong Leong Islamic Bank akan menyemak turun kadar asas (BR), kadar asas Islam (IBR), kadar pinjaman asas (BLR) dan kadar pembiayaan Islam (IFR), berkuat kuasa pada 10 Julai ini.
Ini susulan pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 1.75 peratus, semalam.
Menurut HLB, kadar BR dan IBR bank itu akan dikurangkan kepada 2.63 peratus daripada 2.88 peratus manakala BLR dan IFR diturunkan kepada 5.64 peratus daripada 5.89 peratus.
“Kadar bagi simpanan tetap akan turut disemak turun sebanyak 25 bps,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Domenic Fuda berkata perjalanan bagi pemulihan serta membina semula daya tahan dalam sektor perniagaan dan isi rumah akan memakan masa walaupun terdapat kelonggaran sekatan pergerakan, perniagaan dan aktiviti sosial yang kembali menyamai tempoh sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Aliran tunai kekal menjadi kebimbangan utama khususnya bagi segmen komuniti perniagaan dan isi rumah tertentu selepas kewangan mereka terjejas akibat kelemahan ekonomi, kehilangan kerja dan prospek pekerjaan (yang suram),” katanya.
Namun, katanya, HLB tetap menyambut baik pemulihan aktiviti perniagaan sejak pelaksanaan PKP Pemulihan membabitkan pelanggan korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bank itu.
“Bagaimanapun, pemulihan itu tidak sekata kerana masih ada perniagaan serta isi rumah yang terus mengalami isu aliran tunai. Oleh itu, pengurangan seterusnya kadar faedah ini akan memberi rangsangan tambahan untuk melonjakkan pemulihan ekonomi dalam separuh kedua 2020,” katanya.
Sementara itu, dalam nota penyelidikan berasingan, Maybank Investment Bank berkata langkah BNM itu menjadikan jumlah pengurangan OPR sebanyak 125 bps tahun ini akibat ketidaktentuan global susulan pandemik COVID-19.
“Pengurangan OPR itu akan memberi kesan terhadap anggaran agregat pendapatan kami bagi tahun kewangan 2020/2021 sebanyak tiga peratus atau satu peratus.
“Kami percaya tiada lagi pengurangan kadar faedah bagi tempoh berbaki tahun ini,” katanya.
Pada 3 petang ini, saham-saham kewangan meningkat 1.22 peratus dan didahului oleh Maybank serta Public Bank yang telah menyaksikan aliran peningkatan sejak awal minggu ini.
— BERNAMA
–
Nak update terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Jom join Channel Telegram rasmi Bijak Kewangan. Kami akan kongsikan info terkini khas untuk anda!
[KLIK GAMBAR SEKARANG]
