Maybank dan RHB turunkan BR dan BLR sebanyak 25 mata asas

Malayan Banking Bhd (Maybank) akan menurunkan Kadar Asas (BR) dan Kadar Berian Pinjaman Asas (BLR) sebanyak 25 mata asas berkuat kuasa 9 Julai, 2020 sejajar dengan pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) hari ini.

Dalam satu kenyataan, bank itu berkata BR dan Kadar Pembiayaan Asas (BFR) juga akan dikurangkan sebanyak 25 mata asas masing-masing kepada 1.75 peratus daripada 2.00 peratus dan 5.40 peratus daripada 5.65 peratus.

Kadar deposit tetap Maybank dan Maybank Islamic turut disemak turun.

Semakan semula BR Maybank yang terakhir adalah pada 8 Mei lepas apbila ia diturunkan kepada 2.00 peratus daripada 2.50 peratus. 

Dalam kenyataan berasingan, RHB Banking Group berkata ia menyemak semula BR dan BLR sebanyak 25 mata asas, berkuat kuasa pada 13 Julai, 2020.

RHB Bank Bhd (RHB), RHB Islamic Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd akan mengurangkan BR kepada 2.50 peratus daripada 2.75 peratus setahun, ia juga menyemak semula BLR kepada 5.45 peratus daripada 5.70 peratus setahun.

Seiring dengan semakan semula itu, kadar deposit tetap RHB Bank akan disemak semula sebanyak 25 mata asas berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

Awal hari ini, BNM mengumumkan pengurangan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 1.75 peratus, paras terendah sejak 2004.

BNM berkata Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) memutuskan untuk mengurangkan kadar tertinggi dan terendah OPR masing-masing kepada 2.00 peratus dan 1.50 peratus. 

“Kesan penularan COVID-19 kepada ekonomi global adalah teruk. Keadaan ekonomi global kekal lemah dengan pertumbuhan global dijangka menjadi negatif tahun ini,” kata BNM.

Ia berkata pengurangan OPR akan memberikan rangsangan dasar tambahan untuk mempercepatkan kadar pemulihan ekonomi.

BERNAMA

Nak update terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Jom join Channel Telegram rasmi Bijak Kewangan. Kami akan kongsikan info terkini khas untuk anda!

[KLIK GAMBAR SEKARANG]

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *