Public Bank tawar bantuan banjir kepada pelanggan yang terjejas akibat banjir
Public Bank Bhd menawarkan pinjaman dan bantuan pembiayaan kepada pelanggan yang terjejas akibat banjir yang berlaku di beberapa negeri baru-baru ini.
Bank itu dalam satu kenyataan hari ini berkata ia termasuk penangguhan ansuran bulanan untuk pinjaman dan pembiayaan sehingga enam bulan berdasarkan kepada permintaan pelanggan, dan ia merangkumi kemudahan pinjaman dan pembiayaan seperti pembiayaan rumah, sewa beli dan kad kredit untuk setiap pelanggan , serta pinjaman dan pembiayaan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Public Bank turut mengecualikan caj penggantian dokumen berkaitan perbankan, seperti kad bank, buku bank, dan cek yang telah musnah atau hilang disebabkan kejadian banjir.
Ia bekerjasama dengan Lonpac Insurance Bhd dalam menguruskan tuntutan kerugian yang dilindungi oleh pemegang polisi yang ditanggung oleh syarikat insurans.
Pengarah Urusannya, Tan Sri Tay Ah Lek berkata Public Bank bersedia menghulurkan bantuan dan sokongan kepada pelanggan yang terjejas akibat banjir.
“Bantuan pembayaran semula itu akan meringankan beban kewangan mereka dan membantu memulihkan kehidupan mereka,” katanya.
Pelanggan yang memerlukan bantuan pembayaran balik diminta mengunjungi cawangan Public Bank terdekat atau menghubungi talian 1800-22-5555.
Selain itu, bagi perkara berkaitan tuntutan insurans, pelanggan yang terjejas boleh menghubungi Lonpac di talian 03-2262 8688.
–
Nak update terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Jom join Channel Telegram rasmi Bijak Kewangan. Kami akan kongsikan info terkini khas untuk anda!
[KLIK GAMBAR SEKARANG]