STATISTIK SISWAZAH 2020: CABARAN YANG GRADUAN TERPAKSA HADAPI
Seluruh dunia terkesan dengan peristiwa COVID-19 pada 2020 yang turut menyebabkan kemerosotan ekonomi Malaysia, paling terjejas sejak kemerosotan pada tahun 1998. Pelaksanaan pelbagai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengawal penyebaran COVID-19 telah menyebabkan peningkatan bilangan pekerja yang kehilangan pekerjaan dan seterusnya meningkatkan bilangan penganggur sebanyak 200 ribu untuk mencatatkan 718.1 ribu orang pada 2020.
Kemasukan ke pasaran buruh terutamanya dalam kalangan siswazah baharu tidak terkecuali terkesan dengan pandemik ini. Persaingan untuk mendapatkan pekerjaan dalam kalangan siswazah semakin mencabar dengan kehadiran lebih ramai penganggur yang hilang pekerjaan semasa pandemik.
Untuk mengurangkan impak pandemik COVID-19, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan. Antaranya, Pelan Pemulihan Ekonomi Nasional (PENJANA) yang berjumlah RM35 bilion. Antara inisiatif dalam PENJANA adalah Program Subsidi Upah yang bertujuan untuk mengekalkan pekerja dan mengurangkan pemberhentian; Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan untuk mendorong pengambilan pekerja dengan menyediakan insentif kewangan kepada majikan; dan Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran yang menyasarkan untuk meningkatkan kebolehpasaran dalam kalangan belia dan penganggur.
Selain itu, Program PENJANA KPT-CAP yang merangkumi tiga sub-program iaitu Place and Train, Keusahawanan dan Ekonomi Gig bertujuan untuk menangani cabaran kebolehpasaran siswazah dan pengangguran siswazah.
Statistik Siswazah 2020 membentangkan statistik siswazah dalam dan luar tenaga buruh serta gaji & upah siswazah di Malaysia. Pelbagai sumber data digunakan untuk menyusun statistik iaitu Survei Tenaga Buruh, Statistik Pengajian Tinggi, Kajian Pengesan Siswazah, Kajian Pengesanan Graduan TVET dan Survei Gaji & Upah. Siswazah ditakrifkan sebagai individu dengan sijil tertinggi yang diperoleh daripada universiti, kolej, politeknik, badan yang diiktiraf atau setaraf, di mana tempoh pengajian sekurang-kurangnya dua tahun. Siswazah dikelaskan kepada dua kategori pensijilan iaitu Diploma dan Ijazah.
Penerbitan ini memaparkan perincian mengikut ciri-ciri demografi dan sosioekonomi kumpulan umur, jantina, kumpulan etnik, strata, pekerjaan, taraf pekerjaan, tahap kemahiran, aktiviti ekonomi dan juga mengikut negeri.
Statistik Utama Siswazah
Bilangan siswazah di Malaysia pada tahun 2020 adalah 5.36 juta orang, meningkat sebanyak 4.4 peratus dari tahun 2019 (5.13 juta orang). Bilangan siswazah dalam tenaga buruh merangkumi siswazah bekerja dan menganggur meningkat 6.3 peratus kepada 4.56 juta orang (2019: 4.29 juta orang). Sementara itu, Kadar Penyertaan Tenaga Buruh Siswazah (KPTBS) meningkat sebanyak 1.5 mata peratus kepada 85.0 peratus berbanding 83.5 peratus pada tahun 2019.
Bilangan siswazah yang bekerja adalah 4.35 juta orang, meningkat 5.6 peratus daripada 4.12 juta orang pada tahun 2019. Sementara itu, kadar pengangguran siwazah melonjak kepada 4.4 peratus dengan jumlah siswazah menganggur adalah 202.4 ribu orang (2019: 165.2 ribu orang;3.9%).
Dalam tempoh yang sama, bilangan siswazah di luar tenaga buruh menurun sebanyak 5.1 peratus merekodkan 800.9 ribu orang berbanding 844.0 ribu orang pada tahun 2019. (Carta 1)
Statistik Siswazah Bekerja
Dari perspektif pekerjaan, 68.8 peratus atau 3.00 juta siswazah bekerja dalam kategori mahir dengan 40.8 peratus bekerja dalam pekerjaan Profesional (1.78 juta orang), diikuti oleh Juruteknik dan profesional bersekutu pada 17.2 peratus (749.5 ribu orang).
Siswazah yang bekerja dalam kategori pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah meliputi 31.2 peratus. Kumpulan siswazah ini boleh dikelaskan sebagai ketidaksepadan pekerjaan kerana siswazah ini tidak menggunakan sepenuhnya kemahiran dan pengetahuan mereka. Siswazah bekerja dalam kategori separuh mahir merangkumi 28.9 peratus atau 1.26 juta orang yang sebahagian besarnya dalam Pekerjaan perkhidmatan & jualan (11.9%), diikuti oleh Pekerja sokongan pengkeranian (9.6%) dan Pekerja kemahiran dan pekerja pertukangan yang berkaitan (3.4%). Baki 2.3 peratus bekerja dalam kategori berkemahiran rendah dengan 98.1 ribu orang.
Statistik Guna Tenaga Siswazah Tidak Penuh Berkaitan Masa
Selain daripada indikator pengangguran yang mencerminkan ketidakcekapan dalam pasaran buruh, indikator guna tenaga tidak penuh digunakan untuk mengukur ketidakcekapan penggunaan buruh segi masa dan kemahiran. Siswazah yang tergolong dalam kategori guna tenaga tidak penuh berkaitan masa yang bekerja kurang dari 30 jam seminggu dan mampu serta sanggup menerima tambahan jumlah jam bekerja, meningkat pada tahun 2020 berikutan waktu bekerja yang terhad selaras dengan pelaksanaan PKP. Bilangan siswazah dalam kategori ini adalah 83.8 ribu orang dengan kadar 1.9 peratus (2019: 35.6 ribu orang; 0.9%).
Statistik Guna Tenaga Siswazah Tidak Penuh Berkaitan Kemahiran
Melihat kepada kedudukan guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran yang ditunjukkan oleh siswazah yang bekerja dalam kategori separuh mahir dan berkemahiran rendah, meningkat kepada 31.2 peratus merekodkan 1.36 juta orang pada tahun 2020 (2019: 1.10 juta orang; 26.7%). Guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran boleh dikelaskan sebagai isu struktur pasaran buruh kerana bilangan siswazah bekerja dalam kategori ini adalah tinggi walaupun sebelum pandemik COVID-19.
Statistik Siswazah Menganggur
Berhubung tempoh menganggur, lebih daripada 70 peratus siswazah adalah penganggur aktif yang terdiri daripada 158.4 ribu orang. Daripada jumlah ini, siswazah yang menganggur kurang dari tiga bulan merekodkan sumbangan tertinggi sebanyak 45.1 peratus (71.4 ribu orang).
Sementara itu, 30.1 peratus (47.6 ribu orang) dan 14.8 peratus (23.5 ribu orang) menganggur dalam tempoh tiga hingga lima bulan dan enam hingga dua belas bulan. Siswazah yang menganggur dalam jangka panjang atau lebih dari satu tahun merangkumi 10.1 peratus atau 16.0 ribu orang.
Daripada keseluruhan siswazah menganggur, siswazah menganggur tidak aktif iaitu yang tidak mencari pekerjaan merangkumi 21.7 peratus atau 44.0 ribu orang pada tahun 2020.
Statistik Siswazah Luar Tenaga Buruh
Analisis terhadap sebab tidak mencari pekerjaan mendapati lebih daripada 35 peratus yang berada di luar tenaga buruh adalah kerana kerja rumah/ tanggungjawab keluarga dengan sejumlah 315.7 ribu orang pada tahun 2020.
Sebaliknya, 30.5 peratus adalah mereka bersekolah/ masih belajar/ program latihan (243.9 ribu orang) manakala 25.7 peratus adalah mereka yang sudah bersara/ lanjut usia (205.8 ribu orang). Sementara itu, 1.2 peratus (9.5 ribu orang) siswazah dalam kategori ini tidak minat/ baru tamat belajar.
Selain itu, 1.6 peratus (12.8 ribu orang) siswazah dalam kategori ini akan melanjutkan pelajaran manakala 1.6 peratus yang lain (13.2 ribu orang) adalah hilang upaya.
–
Nak update terkini berkaitan hartanah dan kewangan? Jom join Channel Telegram rasmi Bijak Kewangan. Kami akan kongsikan info terkini khas untuk anda!
[KLIK GAMBAR SEKARANG]