Tips membaiki kewangan peribadi dalam masa 12 bulan untuk 2020
Kalau kewangan kita kucar kacir, hati boleh jadi risau. Kan?
Masalah kewangan adalah satu aspek kehidupan yang wajib kita atasi sebelum ia melarat.
Tengah berusaha nak baiki kewangan korang? Min nak korang baca perkongsian ilmu Tuan Amir Syahir ni. Semoga bermanfaat.
–
Ruang yang terbesar ialah ruang untuk membaiki diri sendiri. Nak membaiki diri sendiri sangat susah jika tabiat buruk sudah sebati dalam diri. Misalnya tabiat berbelanja dengan boros.
Apa gunanya bekerja 9 jam sehari. Bila dapat gaji, setiap minggu pergi jalan-jalan ataupun berbelanja sakan. Tak sempat gaji bulan berikutnya, dah terpaksa berhutang dengan kawan-kawan. Jadi imej kau sebenarnya tercalar sedikit sebanyak. Tak gunalah kau berpangkat besar atau bergaji besar.
Jadi, apa yang kau orang perlu buat untuk mengubah kehidupan menjadi lebih baik? Langkah yang pertama mestilah membuat perancangan kan. Tapi, kau orang mesti ada azam dan keinginan untuk berubah.
Perubahan tak semestinya perlu berlaku dengan serentak. Tak seharusnya perlu drastik kan. Mulakan secara perlahan-lahan. Tapi perlu istiqamah iaitu usaha yang berterusan. Setiap bulan tanamkan azam untuk berubah.
Aku ada idea apa yang kau orang boleh buat dan rancang dalam tempoh satu tahun. Sekadar perancangan. Kalau kau orang nak ikut, silakan. Kalau rasa tak sesuai, abaikan.
Januari : Tentukan bajet perbelanjaan setiap bulan
Bermula pada bulan Januari, kau orang boleh mula membuat bajet untuk setiap bulan. Sekurang-kurangnya kau orang tahu aliran duit keluar masuk. Senaraikan aset dan liabiliti. Senaraikan semua hutang yang ada. Jadi, dapatlah potong mana yang tak penting untuk dibelanjakan pada bulan berikutnya.
Februari: Belajar buat perbandingan harga
Bandingkan harga. Sebelum nak beli sesutu barang, cuma buat perbandingan harga. Teliti dulu mana yang lebih berpatutan untuk dibeli. Barang murah tak semestinya tak berkualiti. Semuanya terpulang kepada kita. Jadilah pengguna yang bijak.
Mac: Rajinkan diri buat nota
Sebelum pergi ke pasaraya catat dulu barang yang hendak dibeli. Tak perlu gunakan troli barang kalau senarai barang nak beli tu sikit. Gunakan bakul je. Amalkan 10 saat berfikir sebelum letak barang dalam bakul. Jika nak beli kehendak atas daripada RM500 ataupun terpaksa berhutang, fikir 30 hari sebelum ambil keputusan muktamad. Supaya tiada penyesalan di masa depan.
April: Rekod setiap perbelanjaan yang berlaku
Catat semua perbelanjaan. Walaupun setiap sen. Kalau setiap kali berbelanja makan RM10.10, 10 sen tu kena tulis juga. Jangan abaikan. 10 sen bocor. Kalau 10 kali dah RM1. Fikir-fikirkan. Bercintalah dengan aplikasi Money Manager Oik Oik.
Mei: Buat ini sebulan sekali saja
Kalau nak makan fast food ataupun tempat hipster cukup sebulan sekali sahaja. Lagipun tak bagus untuk kesihatan kalau selalu makan fast food ni.
Jun: Jimatkan banyak duit dengan memasak sendiri
Kurangkan makan dekat luar. Belajar memasak. Yang simple pun okey. Asalkan sedap lidah yang merasa.
Julai: Mulakan amalan menabung
Buat tabung RM20 (Si Oren) dan RM5 (Si Hijau). Seronok menyimpan dengan cara ni. Rasa excited bila tengok tabung dah mula penuh dengan duit berwarna. Tak percaya, kau orang cubalah.
Ogos: Bawa bekal dari rumah
Bawa bekal ke tempat kerja. Jadi, dapat jimat untuk sarapan pagi. Jangan tinggal sarapan. Ia penting untuk membekalkan kita tenaga untuk bekerja. Ini tidak, sarapan kat luar, makan tengah hari pun kat luar. Macam mana la tak pokai.
September: Elakkan aktiviti yang gunakan banyak duit
Kurangkan aktiviti / hobi yang menggunakan duit. Kalau rasa stress, pergilah berjoging kat taman ke, ambil angin tepi pantai. Duit dapat jimat, badan pun sihat. Bersatu dengan alam. Masuk hutan. Pergi jungle trekking. Pergi dengar bunyi keindahan ketenangan air terjun. Pergi dengar bunyi burung berkicauan riang.
Oktober : Kawal kehendak
Kurangkan kehendak. Tangguhkan kehendak dan jangan berhutang demi kehendak. Mungkin sebelum-sebelum ni, kau orang tak dapat kawal diri kan nak beli itu ini. Bila dah masuk bulan Oktober, cubalah tanamkan azam dalam diri untuk berubah. Kalau rasa kasut masih elok, tak payah beli yang baru. Prinsip gua, guna sampai habis, pakai sampai rosak. Jangan biarkan bulan Oktober kau orang berakhir dengan Tragedi Oktober. Buka dompet serupa tumbuk bawang jeeee. Kakakaka.
November : Bercuti ikut kemampuan bajet
Dah penat lelah bekerja hampir setahun ni, nak juga pergi bercuti. Rancang percutian sebaiknya. Sediakan bajet. Pilih tempat percutian yang sesuai dengan kemampuan. Nak jimat, ambil cuti seminggu, balik rehat dekat kampung. Lepak atas katil sendiri. Pehh. Heaven!
Disember : Semak perbelanjaan dari awal hingga akhir tahun
Semak semula perbelanjaan 11 bulan yang lalu. Baiki mana yang kurang untuk persediaan menghadapi tahun baharu yang lebih mencabar. Kiraan kos diluar jangka. Muhasabahlah diri sendiri. Lihat kewangan kita. Janganlah bersedih orang lain dah kaya, hidup senang. Yakinlah kita berusaha mesti akan dapat capai kesenangan juga satu hari nanti. Yang penting perubahan.
–
Beribu-ribu langkah bermula dengan langkah yang pertama. Jadi langkah pertama kau kena bijak dan kemas. Tak guna jika gaji kau banyak masuk tapi kau tak reti kawal dengan kebocoran wang kau. Akhirnya 5-9 tahun nanti kau sendiri yang kerugian.
Mungkin Tuhan tak bagi kau terus kaya sebab nak kau hargai nilai wang. Hargai cara nak kawal kewangan kau orang. Kalau kau daripada kecil tak pernah hidup susah memang kau tak rasa manisnya berusaha untuk dapatkan sesuatu ataupun berusaha untuk baiki diri sendiri.
Jadilah orang yang bijak merancang kehidupan. Jika kau orang gagal untuk merancang, kau orang merancang untuk gagal sebenarnya. Ayuh, sama-sama kita berubah ke arah kehidupan yang lebih baik.
Perancangan 12 bulan korang ape? Travel ke 7 benua? Nak masuk jelajah benua ke 2 dah tak boleh keluar negara dah pasal PTPTN langsung tak bayar. Gurau jeeeeeee…tu pun nak sentap. Hati tisu betei. Kah!
–
Langkah pertama korang kena bijak dan kemas.
Tak guna jika gaji masuk tapi tak reti kawal dengan kebocoran wang korang. Akhirnya nanti sendiri yang rugi.
Jadilah orang yang bijak merancang kehidupan. Jika kita gagal untuk merancang, kita merancang untuk gagal sebenarnya.
Ayuh, sama-sama kita berubah ke arah kehidupan yang lebih baik.
Nota: Boleh SHARE artikel ni kat orang lain.